JUSTICE AND PASSIONS 正义与激情







Old News from Indra Kayangan Perlis 14.1.2002



Kempen Indera Kayangan di Putrajaya
(Indera Kayangan campaigning at Putrajaya)

Malaysiakini 14/1/2002


Mengikut laporan yang disiarkan di muka depan akhbar kepunyaan MCA, Nanyang Siang Pau, perdana menteri Mahathir Mohamad telah bertemu dengan tujuh pertubuhan Cina di Putrajaya semalam untuk bertukar-tukar pendapat mengenai masalah masyarakat Cina, pendidikan Cina dan beberapa isu negara yang lain.

Khabarnya pengerusi BN dan presiden UMNO itu memberitahu pemimpin Cina betapa pertubuhan Cina seharusnya tidak mudah buta dipengaruhi oleh pihak pembangkang mengenai pelbagai isu yang ada sangkut paut dengan pendidikan Cina.

Perdana Menteri itu dilaporkan juga telah menyalahkan ‘segelintir pegawai kerajaan di bahagian pertengahan dan bawahan’ kerana mencetuskan banyak masalah yang kini dihadapi oleh masyarakat Cina.

Beliau juga dilaporkan telah berkata secara membela-dirinya betapa kerajaan BN tidak pernah mempunyai sikap ‘anti-pelajaran Cina.’

Pada tahap permulaan pertemuan itu sehinggalah pelbagai isu dibincangkan, amat jelas sama ada betul ataupun silapnya, Dr. Mahathir dan BN memang terlalu prihatin dengan undi orang Cina di Indera Kayangan yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini.

Nampak sangat dengan ketara sekali betapa pemimpin Cina telah dipanggil bertemu perdana menteri itu yang meminta mereka menyalurkan pendapatnya yang telahpun disiarkan dalam Nanyang Siang Pau yang dikuasai oleh MCA agar para pengundi Cina di Indera Kayangan memahami pesanan beliau.

Pengundi Melayu dan Cina di Indera Kayangan adalah sekitar 47.4 peratus dan 46.4 sedangkan pengundi India dan lain-lain menjadi yang berbaki. Dengan jangkaan undi Melayu/Islam akan berbelah dua, untuk memihak kepada BN dan kepada Barisan Alternatif, adalah menjadi kepercayaan umum bahawa undi Cina akan menjadi undi penentu.

Isu Yang Lebih Besar

Pilihanraya kecil itu dilihat sebagai pertandingan satu lawan satu antara bekas gurubesar, Oui Ah Lan, 58, yang menjadi calon MCA dan seorang guru bersara Khoo Tang Chong, 60, calon Keadilan. Beliau juga merupakan pesuruhjaya sumpah, dan pemimpin Persatuan Kantonis tempatan, dan merupakan presiden Persatuan Buddhist Perlis selama empat musim.

Selain menjadi seorang guru selama 30 tahun, pengalamannya sebagai pemimpin Persatuan kantonis dan Buddhist sekaligus menumpulkan kesan isu ‘negara Islam’, ‘anti-keganasan’ dan ‘Taliban’ yang dijadikan bahan menyanggah minda akar umbi masyarakat Cina.

Dengan wujudnya kesamaan keperibadian dua personaliti yang bertanding itu, adalah dijangkakan, beberapa isu kebangsaan, seperti pendidikan masyarakat Cina, akan memain peranan berpengaruh dalam pilihan raya kecil itu – dan besar kemungkinan ia membawa kesan dalam pemilu yang akan datang.

Setakat ini, beberapa kumpulan pendidik Cina dan mereka yang menentang pengambil-alihan Nanyang Siang Pau dan akhbar harian China Press oleh MCA sudahpun berada di Indera Kayangan untuk menyampaikan rintihan mereka dan menyemarakkan lagi semangat perjuangan mereka.

Calon BA dikenal dengan mesranya oleh para penyokong barisan Alternatif di pilihan raya kecil Lunas, 1999 dulu, dengan panggilan mesra Cikgu Loot. Beliau merupakan seorang pemidato Cina yang memang digeruni oleh MCA kerana beliau telah berjaya mengubah corak sentimen masyarakat Cina di Lunas yang memberi kemenangan kepada Keadilan.

Proses kempen Keadilan telah diperkuatkan lagi oleh penyertaan beberapa bekas pemimpin DAP yang berpengalaman termasuk bekas ahli parlimen Gooi Hock Seng, Sim Kwang yang dan Foo Piow Kok, dan bekas wakil DUN Lai Teo Kwan, yang amat terkenal di kalangan masyarakat Cina sebagai kartunis politik.

Kemaafan Terbuka

Sejak tiga tahun yang lalu, Keadilan telah meraih sokongan satu kumpulan anak muda Cina sebagai pemimpin parti seperti seorang peguam yang terlatih di Australia, Cheah Kah Peng, pakar perubatan Dr. Lee Boon Chai, peniaga Ng Lum Yong dan lulusan Taiwan Low Chee Cheong dan Diong Chi Tzuoh.

Walaupun mereka ini tidak berapa terkenal dalam media perdana yang didominasi oleh BN, semua aktivis muda Cina ini telah bertanggungjawab membawa peralihan fikiran masyarakat Cina untuk mengundi calon Barisan Alternatif di Teluk Kemang dan Lunas.

Mungkin juga itu sebabnya Mahathir Mohammad telah berusaha menemui pemimpin tujuh pertubuhan Cina yang dikatakan cenderung memihak kepada kerajaan dan pro-MCA. Perdana Menteri seolah-olah tidak dapat melupakan episod Lunas dan juga kekalahannya sendiri di Kota Star pada 1969, apakala masyarakat Cina telah mengundi PAS secara menyeluruh ‘untuk mengajar calon ultra-Melayu itu satu pengajaran.’

Ramai juga orang Cina yang masih memeram pengalaman dan mengingati pesanan Hari Kemerdekaan 2000 perdana menteri di mana beliau menggelar Pertubuhan Suqui sebagai ‘komunis’ dan sama tarafnya dengan ‘pengganas Al Maunah’.

Cemuhan itu bersama dengan ugutan Pemuda Umno yang ‘mahu membakar bangunan Perhimpunan Cina’ menyebabkan ramai masyarakat Cina yang mahukan PM menuntut maaf secara terbuka kepada masyarakat Cina secara keseluruhannya.

No comments: