PERMATANG PAUH, 1 Jun (Hrkh) - Setelah tambang feri, tol Lebuhraya Utara - Selatan dan terbaru minyak petrol serta diesel dinaikkan kini tiba giliran kenaikan kadar tol di Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) pula merealisasikan pengertian 'BN' iaitu 'Barang Naik'.

Kenaikan kadar tol BKE mulai jam 12.01 tengah malam tadi jelas mengambarkan kerajaan terus menekan rakyat dengan memberi kebebasan kepada pemilik konsesi untuk menaikkan tol tersebut.

Harakahdaily ketika bersama 50 orang yang mengadakan piket membantah kenaikan kadar tol di Plaza Tol Kubang Semang semalam mendapati masih ramai yang tidak menyedari ada kenaikan mulai 1 Jun 2005.

Ramai yang terpinga-pinga dengan kehadiran serta sepanduk yang terpampang mengatakan kenaikan kadar tol.

Namun begitu, ada juga yang menyedari hakikat sebenar dan lantas memberikan hon tanda sokongan.

Berbagai sepanduk ditulis antaranya, 'Tol Naik Sokonglah Lagi', 'Tol Naik BN Turun', 'Tradisi Menindas Rakyat', 'RM1.10 naik RM1.30' dan banyak lagi.

Harakahdaily juga dimaklumkan Plaza Tol Kubang Semang menerima kenaikan 20 sen menjadikan RM1.30 sen manakala tol Lunas yang dulunya RM1.00 dinaikkan kepada RM1.30.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Puan Aminah Abdulah menegaskan, kerajaan terus memperbodohkan rakyat dengan berbagai kenaikan.

Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Cheah Kah Peng pula dalam kenyataan akhbarnya berkata, rakyat terus menerima nasib malang dengan kenaikan tersebut.

Kerajaan Pusat dan negeri sambungnya, sudah 'bangkrap' idea untuk menguruskan negara apabila kerap menaikan kadar tol dan keperluan harian.

"Tidak sampai dua tahun memerintah semula dengan mandat baru Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperkudakan hak yang diberikan dengan menaikkan barangan keperluan, tol dan minyak kenderaan, " ujarnya.

Seorang pengguna BKE, Ahmad Ariffin, 63, menyifatkan, kenaikan kadar tol baru itu umpama merompak wang rakyat kerana mandat yang diberikan menerusi pilihan raya sia-sia sahaja.

"Lain kali jangan beri lagi BN berkuasa kerana mereka manis mulut bila merayu undi tetapi bila menang langsung tidak ambil peduli nasib rakyat bawahan, " serunya. - mks.