JUSTICE AND PASSIONS 正义与激情






[harakahdaily] 

Selepas tambang feri, tol pula naik



Raja Petra Kamarudin <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
Oleh Zulkifli Mohamed


BUTTERWORTH: Selepas kenaikan tambang feri pada 1 Mei lepas, rakyat khususnya di Pulau Pinang dihadiahkan satu lagi kenaikan, iaitu kadar tol lebuh raya Butterworth-Kulim (BKE).

Kadar baru itu berkuatkuasa 1 Jun setelah diluluskan Jemaah Menteri pada 18 Mei. Pengumuman mengenainya dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu pada 30 Mei, sehari sebelum kadar baru itu bermula.

Menurut Cheah Kah Peng, Kerajaan Negeri dan Pusat sedang bankrup idea untuk menguruskan masalah ekonomi yang sedang melanda.

“Harga minyak naik, harga barang meningkat, tambang feri naik, kini tol pula ikut naik. Kerajaan telah bankrup idea untuk mengatasi masalah ini,” kata Timbalan Pengerusi 2, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu.

Menurutnya, kerajaan gagal mencari formula terbaik untuk mengatasi masalah ini. Secara mudah, mereka menaikkan kadar tol tanpa menghiraukan sama ada tindakan itu membebankan rakyat ataupun tidak.

“Dengan keadaan ekonomi yang cukup tidak baik, rakyat terus dibebankan dengan kenaikan tol pula. Walaupun kenaikan nampak kecil, ia tetap membebankan rakyat.

“Orang kampung ramai mengadu, mereka semakin terbeban dengan keadaan sekarang,” katanya yang ditemui ketika mengadakan demontrasi di Plaza Tol Kubang Semang, semalam.

Justeru itu, katanya, Keadilan menyeru rakyat melakukan perubahan. Parti itu telah menyediakan “blueprint” untuk mengambilalih kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.

“Kerajaan tidak mempunyai alasan kukuh untuk menghalalkan kenaikan ini. Sebab itu, pengumuman tentang kenaikan kadar baru hanya diumumkan hari ini (30 Mei). Mereka tahu rakyat marah,” jelas Law Choo Kiang, Timbalan Pengerusi 3 Keadilan Pulau Pinang.

“Kadar tol tetap naik walaupun ada bantahan. Sebab selama ini kerajaan tidak pernah menghiraukan bantahan rakyat.”

“Kerajaan sepatutnya membantu rakyat, bukannya membebankan rakyat,” kata Aminah Abdullah, Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang.

‘Kita tunggu apa lagi yang akan naik selepas ini,” katanya.

“Kerajaan BN menipu rakyat. Selepas menang pilihan raya, semua barang naik melonjak. Inikah hadiah untuk rakyat?” tanya Ahmad Ariffin, 63, salah seorang peserta demo yang memegang kad bertulis “Tradisi Menipu Rakyat.”

Sementara Zainal Abidin Saad, 49, berkata, “Selepas kenaikan harga minyak, kerajaan memberi amaran melarang peniaga menaikkan harga barang. Tetapi sekarang, kerajaan sendiri menaikan kadar tol.

“Kerajaan pernah berjanji, tiada kenaikan harga barang, walaupun harga minyak meningkat. Nampaknya janji tinggal janji, cakap tak serupa bikin,” katanya.

Kadar tol di plaza Kubang Semang dan Lunas, di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) masing-masing naik 20 sen dan 30 sen kepada RM1.30

Sementara untuk Kelas 2 iaitu kenderaan yang mempunyai dua gandar, lima atau enam roda kecuali bas ialah RM2.60, Kelas 3 iaitu kenderaan tiga gandar atau lebih ialah RM3.90, Kelas 4 iaitu teksi ialah 65 sen dan Kelas 5 iaitu bas ialah RM1.30.



Demonstrasi aman oleh ahli Briged Keselamatan Permatang Pauh, yang bermula 5.30 petang berakhir sejam kemudian, turut dipantau pasukan polis, termasuk Unit Cawangan Khas.

No comments: